Bedah siasat mayat dengan punca kematian meragukan, siapa ada kuasa beri arahan?

Berita Harian ( Ahad, 10 Ogos 2025 )

KUALA LUMPUR: Perintah mahkamah adalah antara kaedah boleh dibuat bagi membenarkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas mayat berdepan punca kematian meragukan.

Pengerusi Persatuan Penguatkuasaan Undang-Undang, Penyiasatan dan Keselamatan, Arie Dwi Andika, berkata prosedur sama juga boleh dilakukan jika ada permintaan daripada polis.

Beliau berkata, ini terutama kes kematian secara mengejut (SDR) membabitkan individu berusia bawah 50 tahun bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.

Pengerusi Persatuan Penguatkuasaan Undang-Undang, Penyiasatan dan Keselamatan, Arie Dwi Andika. - Foto FB
Pengerusi Persatuan Penguatkuasaan Undang-Undang, Penyiasatan dan Keselamatan, Arie Dwi Andika. – Foto FB

Selain itu, katanya, pegawai perubatan boleh membuat aduan bagi membenarkan proses bedah siasat dibuat, jika pihak hospital mendapati ada unsur mencurigakan ditemui pada mayat.

“Pegawai perubatan boleh meminta bedah siasat dilakukan jika mendapati terdapat kejelikan dalam punca kematian, sama ada mangsa ditemui mati di dalam atau di luar premis atau fasiliti kesihatan (BID).

“Bagaimanapun, waris mangsa tidak boleh secara langsung mengarahkan prosedur berkenaan dilakukan ke atas mana-mana ahli keluarga yang mati dengan unsur mencurigakan.

“Mereka sebaliknya perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk membolehkan prosedur berkenaan dilakukan,” katanya kepada BH.

Sementara itu, pakar forensik, Amidon Anan, berkata prosedur bedah siasat perlu dilakukan ke atas mayat dalam kategori SDR, biarpun tiada unsur jenayah dikenal pasti ke atas jasadnya.

Bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah Makmal Forensik Bukit Aman itu berkata, ia bagi mengenal pasti punca kematian secara tepat, selain mengetepikan risiko kecuaian dalam siasatan.

Selain itu, katanya, prosedur sama perlu dibuat ke atas mayat BID dan kes kematian dengan unsur mencurigakan, termasuk yang berlaku dalam premis atau fasiliti kesihatan.

“Semua kes bedah siasat perlu mendapat persetujuan waris, kecuali yang tertakluk kepada Seksyen 331 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

“Waris yang enggan melaksanakan prosedur ini dinasihat mengemukakan alasan secara bertulis bagi memastikan pihak berkuasa daripada terikat dengan sebarang tindakan lanjut,” katanya.

“Menerusi prosedur ini unsur bukan semula jadi yang mungkin mendorong kematian mangsa mampu dikesan kerana DNA tidak akan musnah biarpun mayat sudah lama dikebumikan atau reput.

“Keadaan agak berbeza jika mayat sudah ‘disentuh’ pihak ketiga atau dibakar kerana ini akan menyukarkan proses mendapatkan DNA atau bukti yang mungkin ada,” katanya.